Rabu, 12 Februari 2014

Jangan Tabur Fitnah Erma Enggan Halalkan Wang


KUALA LUMPUR – Perbalahan di antara pelakon Rabecca Nur Al-Islam dengan pengarah drama Erma Fatima masih belum selesai apabila pelakon itu menyifatkan Erma masih menyebarkan fitnah dengan menuduhnya artis yang tidak berdisiplin.

Rabecca atau nama sebenarnya Rabecca Nur Al-Islam Ahmad, 27, mendakwa, selepas dia menang saman terhadap pengarah itu pada 8 November lalu Erma didapati memfitnahnya menerusi laman Instagram dan Twitter.

“Kes sudah selesai. Tapi nampaknya ia seperti belum selesai apabila dia masih lagi memfitnah saya mengatakan saya tidak berdisiplin. .

“Keadaan itu boleh menjejaskan periuk nasi saya apabila pihak penerbit drama atau filem mungkin tidak akan menawarkan saya berlakon,” katanya.

Rabecca ditemui pada sidang media khas di Harrods, pusat beli belah KLCC di sini pada Khamis.

Pada 8 November lalu, Rabecca berjaya memenangi kes tuntutan terhadap Erma Fatima apabila mahkamah majistret Kuala Lumpur mengarahkan pengarah dan penerbit drama itu mengembalikan baki jumlah wang lakonan Rabecca sebanyak 40 peratus berserta lima peratus faedah daripada bayaran selain membayar kos guaman kepadanya.

Kedua-dua artis itu sebelum ini pernah bertegang urat apabila Erma selaku pengarah drama Dejavu Di Kinabalu gagal melunaskan baki bayaran lakonan pelakon itu sebanyak 40 peratus sehingga menyebabkan Rabecca memfailkan saman di mahkamah majistret Kuala Lumpur pada 23 Julai 2013.

Erma Fatima

Dejavu Di Kinabalu diterbitkan oleh Rumah Karya Citra (M) Sdn Bhd sebanyak 28 episod dan disiarkan menerusi slot Akasia di TV3, bermula 18 Jun hingga 31 Julai 2012.

Sementara itu, Rabecca berkata, Erma boleh membuat rayuan di mahkamah jika enggan melunaskan baki bayaran seperti yang diarahkan tetapi bukan dengan cara memburuk-burukkan di laman sosial.

“Senang saja, jika tidak puas hati atau enggan membayar, buat saja rayuan di mahkamah.

“Tidak perlu memburukkan saya di laman sosial. Sekiranya dia masih lagi memfitnah, saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan selanjutnya,” tegas Rabecca.

Turut hadir pada sidang media tersebut, ialah peguam Rabecca iaitu Nordin Othman.

Tidak halalkan wang itu – Erma Fatima

Sementara itu Erma Fatima yang dihubungi berkata, dia akan menurut perintah mahkamah dan tidak berhasrat memanjangkan kes berkenaan sebagaimana yang dicadangkan oleh Rabecca.

Malah Erma juga bersedia untuk menjelaskan baki wang berkenaan sebanyak RM11,000 kepada wanita itu tetapi tidak menghalalkannya.

“Saya akan bayarkan wang itu kepada Rabecca tetapi saya tidak akan halalkannya. Kekalahan saya di mahkamah atas sebab-sebab teknikal. Saya pun tak mahu panjangkan kes ini lagi,” katanya. – mStar Online

0 komentar:

Posting Komentar

 

Copyright © asa dunia Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger