PETALING JAYA – Perakam klip penderaan kanak-kanak yang tersebar luas sejak kelmarin berkata, wanita muda itu yang dikenalinya dengan nama Ira merupakan anak kepada jirannya ketika dia menetap di Damansara Damai.
“Saya kenal dia sebab saya berkawan baik dengan ibu angkatnya ketika saya menetap di Damansara Damai dan apabila ibu angkatnya meninggal, wanita ini membuat keputusan untuk tinggal bersama saya pada Mac tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang wanita itu tinggal bersamanya, emosi wanita itu kerap kali berubah-ubah dan boleh dikatakan agak sosial.
“Saya tidak kisah dia tinggal dengan saya, tetapi dia sosial dan bila keluar rumah keesokan harinya baru balik, bila bergaduh dengan teman lelakinya, anak yang akan dijadikan sasaran.
“Saya pernah bertanya kepada wanita itu bahawa dia menganggap anaknya sebagai apa dan katanya anaknya itu hanyalah tempat untuknya melepaskan geram,” katanya.
Menurut laman sosial Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Khamis, wanita yang mendera bayi perempuannya sendiri dalam klip video yang kini tersebar di media sosial, sedang menjalani hukuman penjara 18 bulan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana perbuatannya itu.
Kes itu dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada 29 Mei 2011 dan tangkapan terhadap wanita itu dibuat pada hari sama.
Berikutan penyebaran video penderaan bayi itu, PDRM menerima hampir 300 aduan dan komen daripada orang ramai yang rata-rata bersimpati dan prihatin dengan nasib bayi itu. – BERNAMA
0 komentar:
Posting Komentar