Minggu, 16 Februari 2014

10 000 12 000 Maklumat Rasuah Setiap Tahun


KUCHING – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima 10,000 hingga 12,000 maklumat berkaitan kesalahan rasuah setiap tahun, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Beliau berkata, jumlah maklumat yang banyak itu membuktikan kesedaran tinggi  masyarakat terhadap bahaya rasuah serta membuktikan masyarakat yakin dengan perkhidmatan SPRM.

Beliau berkata, SPRM tetap menerima semua aduan dan menjalankan siasatan walaupun ada antaranya agak janggal seperti kes perebutan hak milik tanah pusaka, anak lari dari rumah, serta pekerja tidak datang bertugas namun ketua jabatan tidak membuat aduan.

“Bagaimanapun, daripada jumlah besar itu SPRM akan melakukan tapisan, tinggal 5,000 hingga 6,000 dan seterusnya sehingga hanya tinggal 1,000 kes yang benar-benar mempunyai asas akan dibawa ke mahkamah untuk tujuan pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perjumpaan bersama Ketua Jabatan Kerajaan dan Ketua Agensi GLC Negeri Sarawak 2013, di sini hari ini.

Program diadakan bertujuan menjelaskan peranan dan fungsi SPRM kepada semua agensi terlibat seterusnya memperbaiki persepsi masyarakat, dan memupuk semangat serta sokongan terhadap usaha-usaha pencegahan rasuah yang dilaksanakan agensi itu.

Mohd Shukri berkata, antara cabaran dihadapi agensi itu dalam usaha memerangi rasuah ialah persepsi salah masyarakat yang sentiasa menuduh SPRM tidak mengambil tindakan, atau lambat membuat sabitan rasuah dan perbicaraan terhadap individu yang didakwa terlibat rasuah.

“Bukan mudah untuk membawa satu-satu kes ke mahkamah. SPRM juga tidak mempunyai kuasa melakukan pendakwaan, SPRM hanya membuat siasatan sebelum menyerahkan kepada pendakwa raya,” katanya sambil berharap persepsi salah masyarakat itu dapat diperbetulkan.

Beliau berkata, jika berjaya membuat sabitan rasuah dan perbicaraan pula, masalah teknikal seperti keterangan responden ketika memberi maklumat atau melapor kejadian rasuah kepada SPRM berlainan ketika menjadi saksi di mahkamah. – BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar

 

Copyright © asa dunia Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger